Anak Yatim Berlian Yang Ditinggalkan Berharga


Sabda Rasulullah SAW;
“Aku dan orang yang memelihara anak yatim, di syurga nanti seperti ini (sambil menunjukkan dua jarinya – bermaksud jaraknya amat dekat).”
Hadis Riwayat Bukhari
Berdasarkan hadis Baginda Nabi SAW tersebut, jelas menunjukkan kelebihan buat mereka yang memelihara dan menyantuni anak-anak yatim. Sebelum itu, tahukah anda apakah yang dimaksudkan dengan ‘anak yatim’?
Siapakah golongan yang dimaksudkan itu?
Menurut definisi dari sudut syariah Islam, istilah ‘anak yatim’ ialah kanak-kanak yang kematian salah seorang, sama ada ibu atau bapa sebelum usianya dewasa (baligh). Manakala anak-anak yatim piatu pula bermaksud kanak-kanak yang masih belum baligh dan kemudiannya, kehilangan atau kematian kedua-dua ibu dan bapanya.
Bagi orang dewasa yang kehilangan atau kematian ibu, bapa atau kedua-duanya, tidak lagi digelar sebagai anak yatim. Ini kerana mereka sudah mampu menyara dan menjaga dirinya sendiri. Gelaran ‘anak yatim’ atau ‘yatim piatu’ hanya sesuai digunakan untuk kanak-kanak yang tidak mampu menjaga dan menyara diri sendiri. Mudah kata, kanak-kanak yang bergelar ‘anak yatim’ ini masih memerlukan pertolongan atau bantuan daripada orang lain.
Hadis tersebut turut dinyatakan oleh Imam Bukhari dalam bab keutamaan orang yang mengasuh anak yatim. Tahukah anda, apakah kelebihan menyantuni anak yatim di sisi Islam?
1# Berada Dekat Dengan Rasulullah SAW
Alangkah bahagianya jika berada dekat dengan Baginda Nabi SAW kelak. Bagi mereka yang menyantuni anak yatim semasa di dunia, beruntunglah kalian.
Ini kerana Rasulullah SAW memberi jaminan untuk menempatkan kedudukan kalian di sisinya.
Hal ini sepertimana penjelasan hadis di atas.
2# Memiliki Pahala Yang Setaraf Dengan Jihad
Rasulullah SAW pernah bersabda, 
“Barang siapa yang mengasuh tiga anak yatim, dia bagaikan bangun pada malam hari dan berpuasa pada siang harinya, dan bagaikan orang yang keluar setiap pagi dan petang menghunus pedangnya untuk berjihad di jalan Allah. Dan, kelak di syurga bersamaku bagaikan saudara, sepertimana kedua jari ini, iaitu jari telunjuk dan jari tengah.”
Hadis Riwayat Ibnu Majah
3# Mendapat Perlindungan Di Hari Kiamat
Rasulullah SAW bersabda,
“Demi Allah yang mengutusku dengan kebenaran, di hari kiamat Allah SWT tidak akan mengazab orang yang mengasihi anak yatim, dan bersikap ramah kepadanya, serta bertutur kata yang manis. Dia benar-benar menyayangi anak yatim dan mengetahui kelemahannya serta tidak menyombongkan diri pada tetangganya atas kekayaan yang diberikan Allah kepadanya.
Hadis Riwayat at-Tabrani
 4# Masuk Ke Syurga Dengan Mudah
Rasulullah SAW bersabda,
“Barang siapa yang memelihara anak yatim di tengah kaum Muslimin untuk memberi makan dan minum, maka pasti Allah memasukkannya ke dalam syurga, kecuali jika dia telah berbuat dosa yang tidak dapat diampuni.”
Hadis Riwayat at-Tirmizi 
5# Sebagai Terapi Hati Yang Keras
Aneh bukan? Tapi ada benarnya. Hal ini sepertimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud,
“Dari Abu Hurairah, bahawa seorang lelaki mengadu kepada Nabi SAW akan hatinya yang keras, lalu Nabi SAW berkata; ‘Usaplah kepala anak yatim dan berilah makan kepada orang miskin.”
Hadis Riwayat Imam Ahmad
6# Beroleh Kebaikan Yang Banyak
“Dari Abu Umamah bahawa Nabi SAW bersabda; ‘Barangsiapa yang mengusap kepala anak yatim lelaki atau perempuan kerana Allah, adalah baginya setiap rambut yang diusap dengan tangannya itu terdapat banyak kebaikan’.”
Hadis Riwayat Imam Ahmad
7# Mendapat Perlindungan Di Sisi Allah SWT
Allah SWT turut memuliakan insan ini, sehinggakan ia termaktub dalam firmanNya yang melarang masyarakat atau umat Islam daripada berlaku zalim kepada mereka. Ternyata, larangan ini menunjukkan bahawasanya mereka dilindungi. Apabila ada tegahan atau larangan, sudah pasti ada juga hukuman buat mereka yang ingkar.
Firman Allah SWT yang bermaksud,
“Maka terhadap anak yatim, maka janganlah engkau berlaku sewenang-wenangnya.”
Surah ad-Dhuha : 9

Komentar

Postingan populer dari blog ini

Budayakan 5s senyum,salam,sapa,sopan dan santun :)

Sayangilah Anak Yatim dan Orang Miskin

Senyum adalah ibadah